Tidak menafikan desas-desus itu, pengarah, Michael Ang, mengakui dua pelakon terbabit sedang menjalinkan hubungan cinta di lokasi penggambaran drama berjudul Suri Hati Mr Pilot. "Ya, mereka memang bercinta di lokasi drama ini. Tetapi, di luar set saya tidak tahu sama ada mereka memang intim atau sebaliknya.
Sejak kebelakangan ini, pelakon Noor Neelofa, 27, dan Fattah Amin, 26, sering memuat naik gambar keintiman mereka di laman sosial sehingga menimbulkan tanda tanya di kalangan peminat, apakah kedua-duanya sedang dilamun cinta.
"Keserasian mereka membintangi drama ini jelas kelihatan dan masing-masing sangat 'memberi' apabila membabitkan babak intim. Itulah yang saya mahukan," katanya ketika ditemui pada majlis ulang tahun ke-20 Astro di Pusat Penyiaran Asia di Bukit Jalil, petang tadi.
Enggan mengulas lanjut gosip mengatakan kedua-dua bintang muda itu dikatakan turut intim di luar lokasi penggambaran, Michael sebaliknya berkata, beliau tidak masuk campur urusan peribadi pelakonnya.
"Kalau benar mereka bercinta, itu hak peribadi mereka. Tetapi, di dalam set saya, mereka memang benar-benar bercinta. Saya juga tidak sangka, Neelofa bukanlah seperti apa yang saya dengar daripada mulut orang," katanya.
Kagum dengan kesungguhan dua teraju utamanya dalam menghayati watak, Michael mengakui dirinya melihat ada peningkatan dan kesungguhan ditunjukkan kedua-dua bintang utama drama berkenaan.
"Sebelum ini, saya hanya mendengar orang berkata Neelofa tidak boleh berlakon. Malah, Fattah sendiri sebelum ini pernah dilabel sebagai kayu. "Tetapi, dalam drama ini, mereka nyata tidak seperti apa yang saya pernah dengar dan nampak. Bahkan, Neelofa mampu menghayati watak dengan baik sehingga mengalirkan air mata apabila membabitkan babak sedih," katanya.
Kata Michael, beliau sekali lagi cuba memberikan kelainan menerusi drama arahannya apabila kali ini memilih untuk menggandingkan Neelofa dengan Fattah. Sebelum ini beliau berjaya mencipta keserasian antara Alif Satar dan Siti Nordiana menerusi drama Dia Semanis Honey, sehingga naskhah berkenaan menjadi bualan ramai.
"Saya mahukan kelainan dan tidak suka menggunakan gandingan pelakon yang sudah biasa dilihat kerana penonton memang tahu keserasian mereka. "Apa yang saya bawa ini sesuatu yang berbeza dan yakin drama ini juga meninggalkan impak seperti Dia Semanis Honey kerana keserasian Fattah dengan Neelofa tidak dijangkakan ramai," katanya yang turut menghasilkan sebuah drama berjudul Biar Aku Jadi Penunggu untuk slot Akasia di TV3.
Pengarah itu turut menjelaskan, biarpun dilihat intim dan mesra dalam drama terbabit, beliau cukup memahami serta mematuhi garis panduan membabitkan babak bersentuhan kedua-dua pelakon berkenaan bagi menghormati imej Neelofa dan penonton beragama Islam.
0 comments:
Catat Ulasan