Susahnya mengeluarkan air mata sehingga Shuhanty Hanafiah, 29, terpaksa menggunakan ubat mata namun itu masih tidak cukup untuknya memberikan yang terbaik dalam lakonan pertama, drama Nahu Rindu.
Memegang watak isteri pertama bernama Hilma yang banyak berendam air mata, berlakon pula di samping teraju Aeril Zafrel dan Ummi Nazeera, cabaran besar menanti Shuhanty.
�Apabila bersendirian dan tiba-tiba teringat perkara yang menyedihkan mudah saja air mata mengalir tetapi apabila berada di lokasi dengan banyak mata yang memandang setitis pun air mata tak keluar. Betullah kata orang, berlakon bukan kerja senang. Sebagai jalan penyelesaian, saya terpaksa menggunakan ubat mata.
�Bukan saja saya kena belajar menangis tetapi juga kena belajar baca skrip, memahami dan menghayatinya dengan baik. Apabila faham jalan cerita barulah dapat jiwai watak. Saya mesti faham dialog dan lontarkan dengan penuh perasaan. Jika �rasa� dalam watak itu meresap di hati kita, insya-Allah penonton pasti turut merasainya.
�Dada makin berdebar apabila kru dan pelakon lain terpaksa tunggu saya mengambil �mood�. Oleh sebab itu saya perlu bersiap sedia sebelum ke lokasi bagi mengelakkan orang tertunggu-tunggu,� katanya.
Bermula sebagai pelakon iklan komersial dua tahun lalu, Shuhanty tidak mahu kerjayanya berlegar setakat itu saja dan nekad menyertai Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL 2016). Percubaannya itu menjadi apabila berada dalam kelompok Top 6.
Walaupun memiliki ijazah dalam jurusan Biologi Molekular, bekas graduan University New South Wales, Sydney, Australia ini, berasakan jiwanya lebih ke arah bidang seni.
Bukan mahu mensia-siakan segala ilmu yang diperoleh selama bertahun-tahun di negara orang namun katanya bidang sains dalam negara belum berkembang pesat. Lantas dia mahu �menyimpan� ijazahnya dulu dan boleh digunakan apabila keadaan memerlukan.
�Apabila tamat pengajian dan balik ke sini saya terus mencuba nasib sebagai model iklan komersial. Saya mengikut jejaka ibu (Zaiton Hashim atau dikenali sebagai Wendy) yang pernah menyertai pertandingan Ratu Cantik Pahang dan Ratu Cantik Malaysia 1979.
�Ibu menggalakkan menyertai dunia peragaan manakala bapa pula mahu saya belajar setinggi yang boleh dan atas dorongan ayah, saya melanjutkan pengajian dalam jurusan sains,� katanya.
Dua tahun berada di pentas peragaan, Shuhanty memahami rentak dalam industri. Jika dia mahu �menjual� diri dan bakat menggunakan status sebagai orang terpelajar, bukan dia saja artis yang berpendidikan tinggi. Kalau dia berasakan memiliki pakej lengkap bertubuh tinggi lampai dan wajah menawan, ada ramai yang setanding atau lebih hebat daripadanya.
Lalu apa yang membuatnya tetap tegar untuk menjadi pelakon? Pantas dia menjawab, kerana minat dan mahu mencuba.
�Tiada salahnya saya mencuba. Ia juga satu pengalaman yang menarik. Sekiranya selepas beberapa tahun mencuba, kerjaya seni tidak ke mana, saya masih ada ijazah yang boleh digunakan untuk beralih ke bidang lain.
�Langkah saya dalam bidang lakonan baru bermula dan persaingan bukanlah satu masalah. Apatah lagi DFKL menyediakan kelas drama yang membolehkan saya mengasah bakat dan memantapkan skil lakonan,� katanya.
0 comments:
Catat Ulasan