Selain Balqis, filem itu turut dibintangi oleh Remy Ishak, Sara Ali, Gambit Saifullah dan Asyiela Putri pemilik suara Upin dan Ipin. Ia bakal ditayangkan di pawagam bermula 24 November ini.
Balqis atau Puteri Balqis Azizi, 10, berkata, pada awalnya dia berasa kekok kerana perlu memastikan pergerakan dan dialognya sentiasa tepat bagi memudahkan kerja suntingan untuk memasukkan watak popular itu secara animasi.
Pelakon Puteri Balqis menyifatkan peranannya sebagai Aqish dalam filem animasi Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! sebagai paling mencabar kerana dia perlu berdialog seorang diri setiap kali adegan bersama Upin dan Ipin.
Video trailer
"Saya kena tahu kedudukan, ketinggian atau paras mana apabila Upin & Ipin duduk supaya ia tidak nampak janggal dan pelik apabila watak animasi Upin dan Ipin digabungkan menerusi teknik pengimejan berkomputer CGI.
"Pada awalnya saya berasa kekok dan macam orang gila sebab bercakap seorang diri tetapi lama-kelamaan saya mula memahami teknik CGI dan gembira dengan hasilnya," katanya kepada mStar Online.
Balqis ditemui pada malam gala filem berkenaan yang diadakan di e@Curve di sini, Selasa.
Dalam pada itu pemegang trofi Pelakon Wanita Terbaik Asia di Asian Television Awards 2014 itu berkata, dia berasa bertuah dapat berlakon dalam filem arahan Erma Fatima itu kerana sejak kecil meminati siri animasi Upin & Ipin.
Kata Balqis, peluang diberikan oleh pihak Les Copaque adalah impian menjadi kenyataan dan berharap penonton akan menyukai filem itu.
"Sejak saya berusia empat tahun Upin dan Ipin ialah kartun animasi kegemaran saya dan apabila ditawarkan berlakon dalam filem itu ia bagaikan mimpi.
"Saya terlalu gembira kerana ia seperti impian menjadi kenyataan dan kini saya adalah sebahagian daripada Upin dan Ipin," ujarnya.
Sementara itu, Balqis berkata, walaupun Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng! adalah sebuah naskhah ringan untuk tontonan kanak-kanak namun ia sarat dengan pelbagai pengajaran terutamanya tentang semangat kekeluargaan.
Katanya, ia sesuai untuk tontonan seisi keluarga dalam mengeratkan lagi hubungan selain berhibur dengan gelagat dan aksi Upin dan Ipin yang muncul dalam dunia sebenar.
"Apa yang paling seronok tentang filem ini adalah ia bukan sahaja untuk berhibur tetapi banyak pengajaran yang diselitkan terutama tentang semangat kekeluargaan.
"Pada saya tema itu sangat sesuai kerana pasti kanak-kanak yang datang menonton akan hadir bersama ibu bapa mereka dan dapat mengeratkan lagi hubungan," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Balqis berkata, dia bakal memasuki set penggambaran filem Mr. M yang diadaptasi daripada kisah sebenar pada Disember ini.
0 comments:
Catat Ulasan