Program Doa Untukmu Rohingya yang diadakan di Laman Santai, Istana Budaya dalam rintik hujan itu meruntum jiwa penonton apabila Izzue berjaya membangkitkan rasa simpati terhadap penindasan etnik Rohingya di Myanmar.
Pelakon Izzue Islam berjaya mencuri perhatian apabila dia mengalirkan air mata ketika membacakan puisi dalam program tersebut pada malam Ahad.
Terdahulu, program anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) itu berjaya menarik kira-kira 10,000 penonton menerusi acara yang berlangsung selama 10 jam tanpa henti itu.
Bermula pada pukul 2 petang dan berakhir pada 12 tengah malam, Doa Untukmu Rohingya turut berjaya menghimpunkan 1,000 penggiat seni yang bukan sahaja daripada golongan selebriti malah seniman, pemuzik, pemmuisi dan pelukis.
Antara selebriti yang tampil mendeklamasi puisi serta menghiburkan penonton ialah Amy Search, Erra Fazira, Rozita Che Wan, Zarul Umbrella, Sahara Yaacob, Izreen Azminda, Johan As'ari, Azharina, Rabbani, Siti Sarah dan ramai lagi.
Turut hadir memeriahkan acara adalah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Prof Dr. Lim Swee Tin.
Manakala selebriti yang sempat meluangkan masa bagi menunjukkan sokongan kepada nasib malang yang menimpa etnik
Rohingya adalah Azharina, Rabbani, Siti Sarah, Zarul Umbrella, Rozita Che Wan, Erra Fazira, Amy Search, To'Ki, Sahara Yaacob, Izzue Islam, Aiman Tino dan ramai lagi.
Sementara itu, Presiden WHAM, Tengku Khalidah Tengku Bidin menyifatkan penganjuran program berkenaan sebagai berjaya dalam menyebarkan kesedaran dan menyuntik rasa prihatin dalam mengenang nasib yang sedang menimpa masyarakat Islam di Myanmar.
Malah kata Tengku Khalidah, sokongan yang ditunjukkan oleh golongan selebriti dan karyawan bukti industri seni sentiasa bersatu hati terhadap hal-hal semasa yang sedang melanda.
"Tujuan kami untuk mengadakan program ini adalah untuk menyemarakkan dan menyuntiuk rasa prihatin dalam diri masyarakat tentang nasib yang sedang menimpa etnik Rohingya tercapai.
"Dengan kehadiran masyarakat Malaysia dan sokongan tidak berbelah bahagi ditunjukkan oleh semua golongan selebriti tanpa mengharapkan habuan cukup mengaggumkan," katanya.
Pada acara itu, 100 karya terpilih yang dihantar oleh orang ramai bagi meluahkan rasa terhadap isu Rohingya dideklamasikan oleh artis dan seniman tanah air pada acara tersebut.
Malah kesemua karya tersebut bakal dibukukan untuk menjadi arkib seni yang bernilai dan terus tersimpan pada masa hadapan. - MStar
0 comments:
Catat Ulasan