Akibat tekanan menyiapkan drama terbaharu arahannya iaitu Lara Cinta Ameena, pengarah, Shuhaimi Lua Abdullah diserang penyakit angin ahmar pada 12 Disember lalu.
Bersama krew produksi drama Lara Cinta Ameena
"Selepas muntah dan badan sebelah kiri berasa kebas saya tahu ada sesuatu yang tidak kena dan segera menelefon pembantu peribadi untuk datang membawa saya ke hospital.
"Doktor kemudiannya mengesahkan saya terkena serangan angin ahmar namun saya bernasib baik kerana ia hanya strok ringan dan keadaan saya tidak begitu serius.
"Serangan itu mungkin disebabkan saya agak tertekan sebelum ini kerana sibuk dengan penggambaran dan proses suntingan beberapa episod terakhir Lara Cinta Ameena yang sedang ditayangkan di TV3," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu.
Ekoran kejadian itu, Shuhaimi ditahan di sebuah hospital swasta selama seminggu sebelum keadaannya kembali stabil dan dibenarkan pulang.
Dalam pada itu, Shuhaimi berkata, dia masih terkesan dengan serangan penyakit itu terutamanya pada bahagian kiri badannya yang masih berasa kebas dan sengal.
Katanya, selepas dibenarkan keluar hospital dia masih memerlukan bantuan untuk berjalan memandangkan kaki kirinya tidak kuat.
"Masih ada lagi rasa kebas dan sengal sehingga perlu bantuan untuk berjalan namun Alhamdulillah saya semakin pulih dan sudah pun kembali ke set drama terbaharu Namaku Bedah yang menjalani penggambaran di Melaka.
"Tetapi saya masih perlu menjalani rawatan fisiologi sekali sebulan untuk memulihkan anggota badan yang terjejas," ujarnya.
Sementara itu, Shuhaimi berkata, tidak ramai mengetahui tentang dia diserang strok ringan kerana tidak mahu membuatkan keluarga dan rakan-rakannya bimbang.
"Ibu dan keluarga saya sendiri pun tidak dimaklumkan kerana bukan apa saya tidak mahu mereka bimbang.
"Alhamdulillah saya semakin pulih dan rakan-rakan yang mula mengetahui kejadian itu ada datang melawat dan memberi kata-kata semangat," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Shuhaimi berkata, drama Lara Cinta Ameena arahannya, menampilkan barisan pelakon seperti Raja Afiq, Tiz Zaqyah, Fazlina Ahmad Daud, Zarina Zainoordin dan Lia Natalia itu bakal memasuki minggu terakhir yang berbaki tiga episod lagi.
Kata Shuhaimi, walaupun mengalami pelbagai tekanan sehingga diserang penyakit namun dia gembira apabila drama tersebut mendapat sambutan hangat daripada penonton.
"Insya-Allah baki tiga episod lagi akan memberi kejutan kepada penonton yang ingin mengetahui pengakhiran kisah tersebut," katanya.
Lara Cinta Ameena yang diterbitkan oleh Tanah Beris Film Production itu disiarkan menerusi slot Samarinda pada setiap hari Isnin hingga Rabu, 10 malam di TV3. - MStar
0 comments:
Catat Ulasan