�Bagi saya, apabila terlalu kerap muncul di televisyen ia boleh menjatuhkan nilai eksklusif seseorang pelakon itu. Jadi, apabila muncul pelakon yang lebih baru, nama mereka akan lenyap dengan sekelip mata,� katanya.
Pengalaman selama lapan tahun bergelar pelakon banyak mengajar Zul Ariffin mengenal selok-belok industri seni hiburan tanah air.
Jika tidak, mana mungkin anak jati kelahiran Taiping, Perak ini mampu bertahan sehingga hari ini.
Mengulas mengenai lambakan pelakon baru yang datang silih berganti, pemilik nama sebenar Zulkifli Ariffin, 28, ini menganggap kebanyakan mereka tidak pandai menjaga nilai eksklusif menyebabkan hanya mampu bertahan untuk beberapa tahun saja.
�Saya lihat kebanyakan pelakon baru sekarang gemar membolot setiap tawaran yang datang sehingga wajah mereka kerap muncul di setiap stesen televisyen secara serentak.
Menurut Zul, dia mengetahui perkara ini selepas melalui pengalaman dan pelbagai cabaran ketika hendak mencipta nama dalam industri seni tanah air sebelum ini.
�Pengalaman menjadi model iklan komersial ketika berusia 17 tahun banyak mengajar saya mengenai perkara itu.
�Bagi saya, apabila terlalu terdedah di depan kamera ia akan melenyapkan karier seseorang itu kerana khalayak akan mula bosan dengan wajah yang sama.
�Begitu juga dengan seseorang pelakon. Apabila tidak mempunyai strategi untuk bertahan dalam industri seni, karier seseorang itu akan jatuh dengan mudah,� katanya yang turut terbabit dalam bidang perniagaan pakaian Muslim dan baju Melayu.
Zul berkata, dalam tempoh lapan tahun bergelar pelakon, dia tiada masa untuk diri sendiri dan keluarga kerana lebih banyak berada di lokasi penggambaran.
�Ketika menjalani penggambaran drama Uda & Dara, saya habiskan masa selama setengah tahun di lokasi penggambaran drama itu. Jadi, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya berehat seketika dalam dunia lakonan dan lakukan kerja yang tidak sempat saya buat. Bagaimanapun, karier lakonan tetap menjadi keutamaan saya,� katanya.
Dalam perkembangan lain, Zul kini baru selesai menjalani penggambaran filem aksi berjudul J Revolusi.
Menerusi filem itu, Zul memegang watak sebagai Zulkarnain iaitu anggota Unit Tindakan Khas.
Berkongsi mengenai filem pertamanya itu, Zul berkata, pelbagai cabaran ditempuh sepanjang dua bulan penggambaran sehingga mengalami kecederaan.
�Hampir 80 peratus aksi lagak ngeri saya lakukan sendiri hingga mengalami kecederaan di tulang rusuk, pinggang, lutut, pergelangan tangan dan buku lali.
�Walaupun sakit, saya berpuas hati kerana saya sudah lama impikan untuk memegang watak sebegini selepas terbabit dalam drama bersiri Gerak Khas sebelum ini,� katanya.
Selain Zul, filem itu turut dibintangi Farid Kamil, Nur Fazura, Izara Aisyah, Ezad Jazmin dan Aedil Putra. - HMetro, Najiy Jefri
0 comments:
Catat Ulasan