Tiada jalan pintas untuk berjaya dalam produksi dan pasaran karya kreatif jika tidak dibajai dengan pelaburan, usaha, minat, pengalaman serta kesabaran di pihak produsernya.
Demikianlah episod kejayaan bagi syarikat produksi tempatan prolifik, Global Station Sdn Bhd yang kini sinonim dengan siri Lara Aishah, apabila terus meneroka pasaran drama bersiri di luar negara melalui platform Pameran Perdagangan Audio Visual Dunia (MIPCOM) yang dianjurkan di Cannes, Perancis, saban tahun.
Menerusi MIPCOM2016 yang baru dianjurkan di French Riviera itu pada 17 hingga 20 Oktober lalu, Global Station memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat pengedaran program TV ternama dari Itali, Mediaset Distribution, untuk membeli format siri popular mereka, Tuscan Passion.
Acara bermakna itu berlangsung pada 18 Oktober lalu di pusat konvensyen Palais des Festival, La Croisette yang menjadi lokasi utama MIPCOM.
Kegembiraan begitu terpancar pada wajah produser Datin Zaiton Muhd Jiwa kerana bukan sahaja mampu memulakan kerjasama dengan Mediaset malah juga meneruskan perkongsian produksi (30-70) dengan Astro yang akan menayangkan siri adaptasi berkenaan kelak.
�Sejak menjadi produser hampir 20 tahun lalu dan kerap ke Cannes, saya sentiasa meninjau peluang terbaik untuk meneroka urus niaga jual beli produk luar negara termasuk pembelian format serta pemasaran produk saya sendiri. Bagi saya, kejayaan tidak akan datang bergolek kalau kita tidak melabur, berusaha dan merebut peluang yang ada di acara bertaraf dunia seperti MIPCOM ini.
�Dengan kerjasama stesen TV seperti Astro yang turut melabur dalam produksi persepakatan ini, terhasillah drama bersiri seperti, Memori Cinta Suraya, Lara Aishah dan terbaru, Tuscan Passion yang belum diberi judul Melayu,� katanya.
Hadir sama pada majlis berkenaan, Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro Datuk Khairul Anwar Salleh, Ketua Jabatan Jualan Mediaset Giorgio Giovetti, Ketua Jualan Antarabangsa Mediaset, Manuela Caputi, Ketua Pegawai Eksekutif Comarex, Marcel Vinay serta pembantunya Martha Contreras.
Manuela ketika ditemui Harian Metro berkata, Tuscan Passion atau Tre Rose Di Eva adalah siri popular tiga musim terbitan Mediaset pada 2012 yang cukup popular di Itali. Ia lakonan Anna Safroncik, Luca Ward dan Roberto Farnesi.
�Ini kali pertama syarikat produksi Asia membeli format drama kami. Sebelum ini kami lebih kepada menjual produk yang sudah siap kepada stesen TV di Asia seperti Astro (Malaysia) dan Vietnam.
�Tuscan Passion mengisahkan seorang wanita, Aurora yang ingin membalas dendam terhadap orang menganiaya dirinya selain memperoleh semula apa yang dirampas daripada hidupnya.
�Siri ini mendapat sambutan paling hangat apabila ditayangkan di Itali sejak tiga tahun lalu,� katanya.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Mohid Mohamed, Pengerusi FINAS, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Komersial & Inovasi FINAS Azmir Saifuddin Mutalib serta Datuk Mahyidin Mustakim.
Ketika ini Lara Aishah mendapat sambutan hangat manakala Papa Ricky lakonan Fadlan Hazim akan menyusul pula selepas itu di Astro Prima dan Maya HD. Global Station juga sedang berunding dengan sebuah stesen TV dari Portugal untuk menerbitkan satu lagi drama bersiri.
MIPCOM adalah acara tahunan yang disertai ribuan pelabur, pembekal kandungan kreatif serta stesen penyiaran dari hampir 100 negara. Seramai 40 produser Malaysia menyertai acara itu tahun ini.
0 comments:
Catat Ulasan