[RASMI]-Telefilem lakonan Aaisyah Dhia Rana dan Zul Arifin


Timeline Cover
Timeline Cover
Telefilem lakonan Aaisyah Dhia Rana dan Zul Arifin
Menurut orang kuat syarikat penerbitan itu, Fadzil Teh, beliau sudah pun mencadangkan sebuah telefilem yang ditunjangi oleh Zul Arifin kepada pihak stesen TV.


Impian anak Rozita Che Wan, Aaisyah Dhia Rana, untuk berlakon dengan hero pujaannya, Zul Ariffin, mungkin terlaksana andai perancangan Zeel Production menggabungkan mereka dalam sebuah telefilem mendapat lampu hijau daripada stesen televisyen.

"Ketika ini, semuanya masih pada peringkat perancangan. Kami bagaimanapun sudah mencadangkan cerita berkenaan untuk stesen TV.

"Kalau boleh memang kami hendak mendapatkan khidmat Zul sebagai teraju utama. Cuma, perkara ini belum lagi disuarakan kepada pihak beliau.
"Jika projek ini menjadi kenyataan, Che Ta (Rozita) juga akan berlakon sekali dalam naskhah terbabit.

"Ikut perancangan, kami ingin mengembangkan watak Aaisyah sebelum ini dalam drama Kak Marr. Aaisyah kononnya mahu mencarikan suami untuk Che Ta dalam cerita itu. Aaisyah pun sudah pandai bercakap, jadi bolehlah diberikan sedikit dialog kepadanya," katanya.

Baru-baru ini, Aaisyah, 3, menerusi rakaman video yang dikongsi di laman sosial menyatakan keinginannya untuk berlakon dengan aktor kacak yang meletup dengan drama Titian Cinta itu.

Video yang dimuat naik di Instagram selebriti cilik ini pada 15 Oktober itu sehingga kini sudah ditonton lebih 650,000 kali.

Si comel itu pernah berlakon ketika berusia setahun dalam drama Kak Marr, yang ditunjangi ibunya sendiri. Ketika itu, Aaisyah belum lagi dapat bertutur dengan sempurna.

Menurut Fadzil, ketika Aaisyah bercuti dengan keluarganya di London beberapa bulan lalu, beliau pernah juga mahu memintanya berlakon.

"Ketika itu, produksi saya sedang melunaskan penggambaran drama Kelip Kelip Kota London. Dalam pada itu, ada juga idea untuk menerbitkan cerita lain, termasuk mewujudkan watak untuk Aaisyah.

"Namun, semua itu tidak menjadi kenyataan. Nampak saja kamera di depannya, Aaisyah terus lari.

"Memang bukan mudah untuk merealisasikan cerita membabitkan Aaisyah. Maklumlah, dia masih kecil. Jadi, kita kena tengok juga 'moodnya' ketika itu. Kita memang kena pandai 'umpan' dan pujuk, untuk ambil hati," katanya.

Sementara itu, Zul yang dihubungi berkata, semuanya bermula di Instagram apabila video usik-mengusik antara dirinya dengan Aaisyah dimuat naik ke laman sosial terbabit.

"Untuk menterjemahkan episod usik-mengusik itu ke kerja lakonan, saya tak boleh komen lebih. Saya tak tahu lagi bagaimana jadinya," kata pelakon filem Tombiruo itu.

Beberapa hari sebelum sambutan hari lahir Aaisyah yang ketiga, 1 November lalu, Zul turut diundang sebagai kejutan buat si comel terbabit. - BHarian
Telefilem lakonan Aaisyah Dhia Rana dan Zul Arifin Rating: 4.5 Diposkan Oleh: layanstreaming.com
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan