[RASMI]-Hari Gawai 2022 Malaysia


Timeline Cover
Timeline Cover
Hari Gawai 2022 Malaysia
1 Jun dan 2 Jun merupakan tarikh Hari Gawai 2022 Malaysia. Hari Gawai disambut oleh kaum peribumi Sarawak terutamanya Iban, Bidayuh dan Orang Ulu seperti Kayan dan Kenyah, dan juga komuniti Dayak di Kalimantan Barat.

Dahulunya, mereka tinggal di rumah panjang dan sesetengahnya tinggal berkelompok di kampung-kampung. Kini, ramai yang sudah tinggal menetap di bandar-bandar mencari pekerjaan untuk sara hidup mereka.

Hari Gawai 2022 Malaysia
sumber : google


Hari Gawai

Gawai bermaksud pesta. Bermakna, Gawai Dayak adalah Pesta Dayak. Gawai Dayak adalah hari menyambut tahun baru dengan berakhirnya musim menuai padi dan bermulanya musim menanam padi yang baharu. Ia merupakan musim perayaan pesta-pesta tradisi dan sosial.

Sejarah Sambutan Hari Gawai

Gawai Dayak mula disambut secara besar-besaran sejak 25 September 1964 setelah Hari Gawai diisytiharkan sebagai hari perayaan rasmi di Sarawak. Sambutan Gawai Dayak pada peringkat negeri yang pertama pada 1 Jun 1965. 

Sebelum itu, hari cuti umum ini dipanggil Hari Sarawak oleh pemerintahan Rajah Brooke. Sebenarnya, Gawai Dayak adalah musim perayaan yang berlangsung selama sebulan yang bermula dari hujung bulan Mei sehingga akhir bulan Jun setiap tahun. 

Mereka mengadakan beberapa upacara besar yang dijalankan di rumah panjang dan bandar. Hari pertama perayaan jatuh pada 31hb Mei dan hari kedua pada 1hb Jun setiap tahun dan akan tamat secara rasmi dengan upacara penutupan pada akhir bulan Jun yang dipanggil menggulung atau ngiling tikar.

Penanaman padi adalah aktiviti utama kehidupan orang Dayak sejak dahulu kala lagi kerana beras adalah makanan utama mereka. Selepas tamatnya musim menuai padi, kaum Dayak akan memiliki banyak beras. Jadi, sesuailah masanya untuk mereka meraikan pesta-pesta tertentu yang diperlukan.

Aktiviti Hari Gawai

Persediaan menyambut Gawai Dayak bermula apabila tibanya bulan Mei dengan proses penapaian iaitu tuak, sejenis minuman tradisi komuniti Dayak. Penapaian tuak mengambil masa lebih kurang sebulan. Tuak dihasilkan daripada proses penapaian nasi pulut yang telah dimasak dan dicampur ragi sebelum disimpan dalam tempayan.

Apabila sudah ada sedikit air tuak tulen pada nasi pulut yang ditapai itu, air yang telah dimasak dan dicampur gula akan ditambahkan secukupnya mengikut banyaknya nasi pulut tersebut. Pada akhir bulan Mei, air tuak itu boleh ditapis dan diminum. 

Dengan cara meminum tuak melambangkan kekuatan tenaga dan keberanian hati. Setelah siap membuat tuak iaitu selepas pertengahan bulan Mei, kaum wanita akan membuat kuih-muih tradisi orang Dayak yang dipanggil “sarang semut”, “acuan” dan “kuih sepit”. 

Kuih-muih tersebut diperbuat daripada tepung beras yang dicampur air, telur and gula kemudian digoreng sehingga keras dan kering dalam minyak masak. Kuih-muih yang telah siap akan disimpan dalam tempayan atau tin supaya tahan untuk beberapa minggu tanpa basi sementara menunggu tibanya hari gawai.

Sebelum berakhirnya bulan Mei, gotong-royong untuk pembersihan dan perhiasan rumah panjang atau kampung boleh diadakan seperti mengecat atau membaiki bahagian-bahagian rumah yang rosak. Rumah panjang dibina mengikuti peraturan-peraturan tertentu supaya ia digunakan sebagai tempat kediaman dan juga tempat beribadat.

Setelah itu, acara pembersihan kubur selalunya diadakan setiap tahun sebagai tanda penghormatan bagi orang yang telah meninggal seperti nenak-moyang, ahli-ahli keluarga, sahabat handai and masyarakat setempat.

Rumah panjang atau kampung seterusnya akan bermesyuarat untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengatur acara sambutan gawai pada 31 Mei dan 1 Jun. 

Acara-acara tradisi termasuklah meminum air panjang umur, perarakan, pertandingan ratu cantik seperti pekit Kumang dan Keling bagi kaum Iban, pendirian pokok “ranyai”, bermain muzik tradisi, menari tarian asal seperti ngajat dan datun jalut, persembahan seni mempertahankan diri dan nyanyian puisi rakyat.

Pada zaman moden sekarang, acara sukaneka pada siang harinya, permainan sukaria, karaoke dan bejoget boleh diselitkan untuk memeriahkan suasana gawai.

Peraturan-peraturan khas untuk dipatuhi oleh orang ramai juga akan ditentukan untuk menjaga suasana gawai yang meriah tanpa pergaduhan dan gangguan yang lain. Bagi kaum Iban, peraturan ini dipanggil begeliga.

Apabila tibanya pagi 31 Mei, orang ramai akan turun mencari makanan di hutan atau kebun terutamanya umbut yang sedap dimasak sup dengan daging haiwan. Ikan, haiwan liar dan sayuran hutan juga dicari sebagai lauk-pauk sebelum gawai.

Selepas itu, orang ramai akan menyembelih haiwan ternakan sebagai lauk utama gawai. Kini, daging dan sayuran boleh dibeli di pasar-pasar terutamanya bagi mereka yang bekerja dan tinggal di bandar-bandar.

Makanan Hari Gawai

Nasi pulut 'pansoh' (lemang) dimasak dalam ruas buluh bagi membangkitkan aroma istimewa daripada buluh tersebut , berbeza jika dimasak menggunakan periuk. Nasi pulut dianggap hidangan istimewa kerana kelekitannya melambangkan perpaduan dalam kalangan komuniti itu yang menjamahnya.

Nasi pulut juga digunakan untuk membuat nasi manis dan tuak, sebagai salah satu sajian kepada para dewa dan membaling tiang chandi sewaktu gawai burung atau kenyalang.

Tikar-tikar anyaman tradisi dengan motif rekaan bunga-bungaan yang cantik dan berwarna terang juga akan dibentangkan di sepanjang ruai rumah. Jenis-jenis tikar tradisi termasuklah tikar bemban, tikar rotan dan tikar kulit kayu. 

Kain-kain tenunan atau ikatan tradisi motif pua kumbu digantung di dinding-dinding sebagai perhiasan. Selain itu, kraftangan yang lain seperti bakul dan topi besar juga digantung di dinding-dinding bilik.

Pelantar istimewa dan tilam kapas empuk akan dibuat terutamanya di ruai Ketua Rumah atau Gawai sebagai tempat istirahat para tetamu khas yang dijemput hadir semasa upacara duduk berbaris mengikut kedudukan sosial masing-masing nanti.

Selamat Hari Gawai untuk warga Sarawak yang menyambut Hari Gawai.

sumber : sarawakvoice
Hari Gawai 2022 Malaysia Rating: 4.5 Diposkan Oleh: arms
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan